(^_^)

Qunut Nazilah

Qunut Nazilah

Thursday, April 7, 2011

Terima Kasih kerana teguran itu..




Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Segala puji bagi Allah yang masih memberi peluang buat kita memperbetulkan kesalahan dan kezaliman yang kita lakukan dengan sengaja dan tidak sengaja.

Alhamdulillah. Sungguh saya bersyukur dan terharu. Allah masih kurniakan saya sahabat-sahabat yang menegur diri saat saya menzalimi diri sendiri dan orang lain. Kalian telah melaksanakan salah satu ajaran Rasullullah tercinta. Moga Allah memberkati kalian.

Dari Anas r.a berkata, Sabda Rasulullah Saw: “Bantulah saudaramu yang berbuat zalim dan (bantulah saudaramu) yang dizalimi.” Kemudian berkata seorang sahabat “Aku membantu orang yang dizalimi, lalu bagaimana aku membantu orang yang berbuat zalim?” Lalu Rasulullah SAW menjawab, “kamu menghalanginya dan mencegahnya dari berbuat zalim karena yang demikian itu adalah membantunya.” (Hadis riwayat Bukhari).


Dalam melalui saki baki kehidupan ini, adakalanya diri bertindak diluar kawalan. Dan tanpa disedari, perkara itu yang sering saya lakukan akhir-akhir ini. Perasaan marah, tertekan, mengikut kepala sendiri, dan sebagainya mula menjadi rencah dalam travelog saya kini. Namun, tanpa saya sedari perkara tersebut mula meninggalkan kesan kepada sahabat-sahabat lain. Ada yang mula membawa diri, dan ada pula yang seolah kaku tidak seperti suatu ketika dahulu. Membuatkan diri mula tertanya-tanya kesalahan diri dan dengan rahmat kasih sayangnya, diutuskan kalian, yang menyedarkan  diri ini.

"ana tak pernah marah, cuma sedikit nasihat, dalam kita bergerak kerja, ada adab yang perlu dijaga. Mungkin boleh rujuk Muwassafat Tarbiyah".. nasihat iklas dari seorang adik. 

Apakah Muwassafat Tarbiyah? Muwassafat Tarbiyah adalah sifat-sifat yang digariskan oleh Imam Hassan Al-Banna kepada setiap individu yang mengakiu beramal dengan Islam. Berikut adalah perkara yang digariskan :

1. Salimul Aqidah (Aqidah yang bersih)
2. Shahihul Ibadah (Ibadah yang benar)
3. Matinul Khuluq (Akhlak yang kukuh)
4. Qowiyyul Jismi (Kekuatan jasmani)
5. Mutsaqqoful Fikri (Intelek dalam berpikir)
6. Mujahadatun Linafsihi (Berjuang melawan hawa nafsu)
7. Harishun Ala Waqtihi (Pandai menjaga waktu)
8. Munzhzhamun Fi Syuunihi (Teratur dalam suatu urusan)
9. Qodirun Alal Kasbi (Memiliki kemampuan usaha sendiri)
10.Nafi’un Lighoirihi  (Bermanfaat bagi orang lain )

Penjelasan lanjut,boleh merujuk ke SINI

Apabila menilai diri, terasa amat jauh diri ini dengan segala yang digariskan. Namun sungguh diri ini bersyukur kerana diberi kesempatan untuk membetulkan kembali diri. 
Itu bukan teguran pertama yang diterima minggu ini, tiga lagi sahabat menyusul, dengan nasihat dan teguran yang berbeza. Alhamdulillah,kini kutemui segala punca keresahan diri. Segalanya perlu ku kaji dan baiki kembali. Dan kemungkinan yang paling besar yang disedari, mungkin diri ini semakin jauh denganNya. Pabila HablumminAllah renggang,Hablumminannas juga akan menerima kesannya. 

Maka kini sudah Allah bantu saya dengan menunjuk kezaliman yang saya lakukan, kini terpulang kepada saya untuk terus menzalimi diri sendiri atau kembali kepada fitrah insani. Doakan saya kembali menemui jiwa sebenar seorang hambaNya. Moga Allah permudahkan segalanya.

Tidak lupa, moga Allah terus memimpin kita kejalannya. Kepada kalian yang sanggup menghadapi hamba zalim ini untuk menegur kezaliman yang kulakukan, Moga Allah merahmati kalian. Hanya Allah yang mampu membalas jasa kalian. 

Wallahualam..

No comments: