(^_^)

Qunut Nazilah

Qunut Nazilah

Sunday, August 25, 2013

Budak Kampung

With the name of Allah, the most Beneficent, the Most Merciful


Mata lepas memandang ke hadapan, namun jiwa terbang melayang jauh ke dalam telaga zaman.  Tika itu, setiap detik adalah permainan baginya. Mungkin jika diceritakan pada generasi kanak-kanak zaman ini, mereka mungkin pitam mendengar zaman tanpa ipad mahupun laptop ditangan. Namun saat berharga itulah yang mengajar dia menjadi manusia yang menghargai. Ya menghargai segala yang wujud di sekeliling, menghargai tiap peluh yang menitik, malah menghargai masa lalu itu, yang tak mungkin akan berulang.

Nafas dihela kuat. Bukan lelah yang dihadapinya tika ini.  Tetapi ia terhasil akibat hambatan rindu pada kenangan lalu. Dia bukan dari keluarga berada. Dia lahir dalam sebuah keluarga besar, yang hanya sekadar cukup segala. Tidak berlebih, dan tidak terkurang hingga perlu meminta-minta. Namun mereka bahagia.

Pada ketika umurnya mencecah 2 tahun 2 bulan, adiknya mula hadir, mengambil kedudukan sebagai anak bongsu dalam keluarga. Seluruh keluarga berasa gembira, namun dia menyimpan sedikit kesedihan, takut perhatian terhadapnya akan hilang. Namun dia silap, dia masih adik perempuan bongsu yang sama, yang diapit dua anak lelaki, abang dan adiknya. Perhatian terhadapnya hampir tidak berkurang, terutamanya dari abang dan ayahnya.

Jarak umur yang dekat antara mereka menjadikan zaman kanak-kanak mereka sezaman.  Tidak termasuk adik, dan dua kakak yang paling tua, dia akan bermain bersama ahli keluarganya. Memanjat pokok rambutan bersama, belajar melastik bersama, bermain bola bersama. Segala-galanya dilakukan bersama, Cuma kadangkala sahaja anak jiran sebelah akan sertai sekali.

Tiba musim rambutan, mereka akan berlumba memanjat dahan yang paling tinggi yang termampu di panjat masing-masing. Siapa di kedudukan paling tinggi akan menang. Tentu sekali abang akan menang. Setelah mendapat tempat masing-masing, tangan akan mula mencapai setiap buah rambutan. Makan sambil bercerita di atas pokok. Setelah isi dimakan, kulit dan biji rambutan akan menjadi peluru di lempar ke arah satu sama lain. Siapa terkena akan membalas semula, namun mereka tidak bergaduh. Hanya ketawa akan mengiringi hingga perut penat menerima, dan mulut letih mengunyah.

Emak tidak susah hati melepaskan mereka bermain, kerana dia tahu, anak-anaknya itu tidak akan pergi jauh. Kepercayaan yang membuatkan mereka berpeluang mencipta sejarah sendiri. Tidak dijerkahnya mereka memanjat pokok, konon takut jatuh, tidak dimarahinya mereka yang berjemur, konon takut hitam, tidak dilarangnya mereka mengutip bahan-bahan buangan atau kayu-kayu yang digunakan membina sesuatu mengikut akal mereka, tanpa risau kotor dan bahaya. Namun itu tak bermaksud emak mereka berlepas tangan dengan mereka. Kelonggaran itu diberi kerana memahami, itulah cara anak-anaknya bermain.
Pohon rambutan itu, masih disitu. Cuma yang hilang, anak-anak yang menggila memanjatnya satu masa dahulu. pasti, pohon itu juga terasa sunyi. sama seperti, insan-insan itu yang kita pergi membawa langkah sendiri...
 
bersambung....
 
 

Friday, August 23, 2013

Langkah seorang hamba

With the name of Allah, the most Beneficent, the Most Merciful



Perjalanan setiap insan,
Unik penceritaannya,
Walau kelihatan sama,
Pasti ada liku bedanya.

Awal usia,
Kaki ini melangkah laju,
Mara hingga timbul bangga,
Sentiasa berada di hadapan manusia.

Zaman berganti,
Kaki mula melangkah  lemah,
Tersadung akibat mental yang kalah,
Lantas tertinggal jauh  di belakang sana,
Makin parah lelah jiwa yang melanda.

Jiwa sering merintih,
Hati jenuh melara,
Tangis kering tak berpunca,
Malu berhadapan dengan manusia,
Yang tak semua punya jernihnya jiwa.

Kadang timbul seruan di jiwa,
Semua yang kau kejar,
Untuk siapa?
Hakikat itu hati akui,
Jiwa enggan kalah menjudi,
Meninggalkan diri serba tak bererti,
Nasib Dia Maha mengasihani,
Walau sumpah dan janji sering dimungkiri.

Duhai diri,
Kembalilah pada insani,
Teruskan berjalan , menabur bakti,
Walau kadang dipandang sepi,
Insan yang mengaku sahabati.

Wahai pemilik segala pada diri ini,
Kau mengerti sirat di hati,
Izinkan kami terus mengemudi,
Menuju redha Mu,
Kami mengimpi.


 
~bumi Jerantut,  23/8/13 10.21pm~