Mata lepas
memandang ke hadapan, namun jiwa terbang melayang jauh ke dalam telaga
zaman. Tika itu, setiap detik adalah
permainan baginya. Mungkin jika diceritakan pada generasi kanak-kanak zaman
ini, mereka mungkin pitam mendengar zaman tanpa ipad mahupun laptop ditangan.
Namun saat berharga itulah yang mengajar dia menjadi manusia yang menghargai.
Ya menghargai segala yang wujud di sekeliling, menghargai tiap peluh yang
menitik, malah menghargai masa lalu itu, yang tak mungkin akan berulang.
Nafas dihela
kuat. Bukan lelah yang dihadapinya tika ini.
Tetapi ia terhasil akibat hambatan rindu pada kenangan lalu. Dia bukan
dari keluarga berada. Dia lahir dalam sebuah keluarga besar, yang hanya sekadar
cukup segala. Tidak berlebih, dan tidak terkurang hingga perlu meminta-minta.
Namun mereka bahagia.
Pada ketika
umurnya mencecah 2 tahun 2 bulan, adiknya mula hadir, mengambil kedudukan
sebagai anak bongsu dalam keluarga. Seluruh keluarga berasa gembira, namun dia
menyimpan sedikit kesedihan, takut perhatian terhadapnya akan hilang. Namun dia
silap, dia masih adik perempuan bongsu yang sama, yang diapit dua anak lelaki,
abang dan adiknya. Perhatian terhadapnya hampir tidak berkurang, terutamanya
dari abang dan ayahnya.
Jarak umur yang
dekat antara mereka menjadikan zaman kanak-kanak mereka sezaman. Tidak termasuk adik, dan dua kakak yang
paling tua, dia akan bermain bersama ahli keluarganya. Memanjat pokok rambutan
bersama, belajar melastik bersama, bermain bola bersama. Segala-galanya
dilakukan bersama, Cuma kadangkala sahaja anak jiran sebelah akan sertai
sekali.
Tiba musim
rambutan, mereka akan berlumba memanjat dahan yang paling tinggi yang termampu
di panjat masing-masing. Siapa di kedudukan paling tinggi akan menang. Tentu
sekali abang akan menang. Setelah mendapat tempat masing-masing, tangan akan
mula mencapai setiap buah rambutan. Makan sambil bercerita di atas pokok.
Setelah isi dimakan, kulit dan biji rambutan akan menjadi peluru di lempar ke
arah satu sama lain. Siapa terkena akan membalas semula, namun mereka tidak
bergaduh. Hanya ketawa akan mengiringi hingga perut penat menerima, dan mulut
letih mengunyah.
Emak tidak susah
hati melepaskan mereka bermain, kerana dia tahu, anak-anaknya itu tidak akan
pergi jauh. Kepercayaan yang membuatkan mereka berpeluang mencipta sejarah
sendiri. Tidak dijerkahnya mereka memanjat pokok, konon takut jatuh, tidak
dimarahinya mereka yang berjemur, konon takut hitam, tidak dilarangnya mereka
mengutip bahan-bahan buangan atau kayu-kayu yang digunakan membina sesuatu
mengikut akal mereka, tanpa risau kotor dan bahaya. Namun itu tak bermaksud
emak mereka berlepas tangan dengan mereka. Kelonggaran itu diberi kerana
memahami, itulah cara anak-anaknya bermain.
No comments:
Post a Comment